Tuesday, December 24, 2019

Pengalaman bertembung dengan 'Mereka' masih banyak..

assalamualaikum..

Setelah sekian lama tidak update blog, kali ini saya dapat masuk ke blogger saya selepas hampir 7 tahun saya biarkan blog ini berhabuk.

Fuh! Siap Advertising company yang aku join dah bankrupt!

Macam-macam hal jadi dalam 7 tahun ni. Bina kerjaya, bina keluarga dan menjaga anak istimewa. Bukan senang nak tumpu buat blog. aku cuba pancing pmbaca dengan tajuk kat atas tu sebab nak test berapa ramai lagi masih membaca blog setelah social medias have taken over the world.

Dengan sekarang, Vlogging is more in trend dan budaya membaca sudah tidak diterapkan lagi. Well, better try than never, right?

Saya akan kekalkan konsep blog ini dengan cerita-cerita misteri yang dialami oleh saya, keluarga dan rakan-rakan. Cerita-cerita akan ditulis paling hampir dengan kisah dan pengalaman sendiri kerana kadang-kadang pengalaman itu membuat kan kita terfikir, betul ke saya nampak 'mereka'? Itu 'mereka' betul-betul atau perasaan sahaja?

Setelah saya tengok list-list cerita yang saya tulis sebelum ini, nampaknya ada banyak lagi stok cerita sendiri yang masih belum sempat saya tulis. Dengan ini, saya akan mula menulis semula agar, pengalaman ini boleh dibaca oleh peminat cerita misteri? Enjoy semua! Jangan lupa drop komen ya!

Wednesday, January 30, 2013

KABUS PUTIH DI LALUAN PUAKA


Hari itu panas betul. Rumah aku tiada air-cond. Biarpun proposal telah berkali-kali kami hantar supaya ayah memasang satu penghawa dingin di rumah lama, rumah kami luangkan zaman kanak-kanak kami, ternyata gagal.

Alasan, jangan membazir elektrik. Nanti menambah global-warming. Haish. Kejam.

Jadi aku dan Jah ambil keputusan untuk keluar window-shopping. Selain jalan-jalan kat tempat berair-cond, kami juga memasang niat untuk cuci mata.

Petang itu kami juga janji dengan ibu, yang kami akan pergi jenguk mereka di kampung.

Di pendekkan cerita, jalan punya jalan, tidak sedar masa berlalu, dan jam telah pun menjangkaui pukul 8.30 malam. Seperti sebelum ini, saya pernah bercerita mengenai laluan ‘istimewa’ yang perlu kami ambil untuk sampai ke kampung halaman. Di sini.

Dah ramai yang memberi amaran. Kalau boleh jangan ambil laluan itu apabila malam tiba.

Penduduk kampung itu pun tidak akan keluar melalui laluan itu jika tidak terpaksa. Namun, bagi kami, nasi telah pun menjadi bubur. Sama ada mahu atau tidak, terpaksa kami telan juga hakikat itu.

Salah sendiri apabila membiar masa berlalu tanpa disedari.

Walaupun ada perasaan sedikit takut-takut, tapi aku gagahkan juga mengambil laluan itu memandangkan aku tidak memandu seorang. Jah ada menemani aku malam itu.

Hati ada sedikit lega dan bersyukur apabila dapat melihat, kiri dan kanan jalan, banyak kereta yang lalu lalang. Memandangkan malam ini, malam minggu, mungkin ramai yang keluar jalan-jalan macam kami juga.

Namun begitu, itu tidak mengubah keadaan kampung itu. Entah di mana masalahnya, walaupun laluan ini dikatakan laluan utama ke sebuah pusat peranginan terkenal di negeri ini, laluan itu tidak banyak diletakkan lampu jalan. Boleh dikatakan juga, hampir tidak ada lampu jalan.

Jalan itu hanya diterangi oleh lampu dari kenderaan yang lalu-lalang disitu.

Kebetulan, ketika aku memandu melalui hadapan sebuah rumah banglo putih di kiri jalan, hanya terdapat kenderaan kami sahaja yang berada di situ.

Kereta di bahagian belakang jauh dari kereta yang dipandu aku (kereta lain ditinggalkan akibat aku yang memandu laju).

Jalan di hadapan gelap gelita.

Mata aku memang lemah kalau memandu malam. Ada sedikit kabur dan jarak pandangan aku terhad. Maka, demi mendapatkan pandangan yang lebih jelas aku memandu sambil merapatkan badan ke hadapan rapat pada stereng kereta. Jarak permandangan aku hanyalah lebih kurang jarak pandangan lampu kenderaanku.

Tiba-tiba terdapat sebuah kereta menyalakan lampu tinggi ke arah kereta aku. Akibat silau dek cahaya tersebut aku turut menyalakan lampu tinggi kepada kenderaan tersebut.

Sebaik sahaja kereta itu lepas dari pandangan kami dengan laju, aku mengalihkan semula perhatianku ke hadapan kereta. Namun ketika itulah aku dikejutkan oleh sesuatu.

Aku ternampak ada sesuatu objek berdiri di hadapan kereta ku. Tapi akibat sudah terlalu dekat, aku tidak sempat menekan pedal brek, lalu aku melanggar objek berkenaan.

Shush!

Kereta ku sedikit bergegar.

Serta-merta badanku tersandar ke kerusi dengan kaki kiri menekan sedikit pedal brek. Aku tidak berhenti, namun kelajuan kenderaan semakin perlahan.

Aku sedar, aku dah berlanggar dengan sesuatu tapi kereta aku dapat menembusi objek itu.

Seperti melanggar kabus atau asap. Tapi ia mempunyai bentuk.

Bentuk seperti seorang perempuan sederhana tinggi memakai telekung berdiri di tengah jalan.

Muncul betul-betul dihadapanku. Betul-betul di hadapan lampu kanan kereta aku.

Mana sempat brek!

Jantung aku berdegup dengan pantas. Aku ingat nak meletup dah jantung aku. Aku langgar orang?

Aku pandang cermin sisi kereta, jika betul aku melanggar seseorang, mesti dia sudah terbaring di jalan sekarang.

Tetapi tiada. Jalan kosong. Lampu dari rumah banglo putih di kiri jalan menunjukkan jalan itu kosong. Tiada orang mahupun objek yang berada di tengah jalan ketika itu.

Kereta yang mengekori kami juga sudah tiada. Walaupun merasa sedikit terkejut dan bimbang, aku teruskan juga perjalanan untuk sampai ke rumah. Pedal minyak aku tekan laju semula.

Jah yang duduk di sebelahku membatukan diri. Seperti aku, Jah juga senyap tanpa reaksi.

Aku rasa dia sedang mendengar dengupan jantungnya sendiri sambil membuat penafian dalam hati yang kami tidak melanggar apa-apa.

Aku tahu aku melanggar sesuatu tapi aku tahu juga bukan orang yang aku langgar. Kalau tidak, pasti kereta aku tidak boleh dipandu ketika ini.

Kalau tidak, pasti aku dapat mendengar bunyi dentuman yang kuat. Impak kelajuan kereta yang melanggar sesuatu objek seperti manusia atau objek pejal, pasti akan mengeluarkan bunyi yang kuat.

Pasti ada kesan kepada kereta ku. Namun aku hanya mendengar bunyi yang sedikit pelik dan keretaku cuma bergegar sedikit.

Tiada impak yang kuat pun. Bunyi enjin juga kedengaran seperti biasa. Tiada yang luar biasa.

Sepanjang perjalanan selepas itu, aku dan Jah senyap, tidak berkata apa-apa. Tidak ada seorang pun yang bersuara. Radio, aku biar terpasang perlahan.

Menutup debaran dalam hati. Takut-takut terdengar bunyi pelik lagi.

Sebaik sahaja sampai di rumah, aku keluar memeriksa kereta aku.

Tiada apa. Calar pun tiada. Kesan kemek pun tiada. Bersih.

Masuk sahaja dalam bilik, aku mula membuka mulut.

“Jah, masa kita lalu kat Kampung S*** R***** tu, kau perasan tak aku ada langgar something?”

“Perasan. Aku ingat kau yang tak perasan. Sebab tu aku senyap je dalam kereta tadi.”

Persoalan sama yang keluar dari mulut kami.

Hari ini panas terik. Malam ini juga panas dan kering.

Mana datang kabus? Mana datang asap? Asap berbentuk muncul di tengah jalan?

Bunyi tu? Datang dari mana kalau bukan dari perlanggaran dengan kabus itu?

Kenapa kereta aku nak bergegar pula sedangkan ianya hanya berlanggar dengan kabus nipis?

Jah turut membuat pengakuan yang dia dapat mendengar bunyi itu dan merasakan kereta kami bergegar.

Sehingga hari ini, setiap kali aku dan Jah melalui jalan itu, pasti tempat itu kami ingat. Pasti kisah-kisah yang pernah kami dengar sebelum ini, terungkit bersama. Berkaitan dengan laluan ini.

Kaitan yang sama. Banglo putih di kiri jalan dan kawasan perkuburan di kanan jalan.



Monday, July 23, 2012

MANDI MANDA DI SG BERNAM - BATU IKUT-IKUT


Kawasan perkelahan ini memang sempoi. Walaupun tidak besar mana, airnya cukup jernih. Kedalaman air sungai yang mencapai paras pinggang dan kawasan rehat yang luas, sangat sesuai dijadikan kawasan mandi manda. Tambahan pula kawasan ini pedalaman. Tak ramai yang tahu.

Setiap kali kami datang, hanya kami sahaja yang ada. Tiada orang awam lain.

Masih belum banyak kerosakan yang berlaku di sini. Seolah-olah tempat itu, kami yang punya.

SYOK!

Tidak seperti hari-hari lain yang sibuk, entah kenapa kelas hari itu di batalkan. Ramai pensyarah yang ada hal-hal lain selain dari mengajar kami.

Kesempatan itu kami ambil untuk melakukan aktiviti merapatkan hubungan silaturrahim.

Walaupun pada mulanya ramai yang respon di facebook status update, menyatakan keseronokan menyertai aktiviti ini buat kali kedua, namun yang betul-betul dapat hadir hanyalah beberapa orang.

Yang nyata, aku ada di tempat kejadian.

Oleh kerana tak ramai, kami tidak mengadakan parti BBQ. Cukup sekadar salad kentang, cucur goreng dan nasi goreng untuk bekalan buat kami berkelah.

Aku sendiri tak ingat aku bawa apa. Entah-entah bawa diri saja. Hah!

Tumpuan aku hari itu adalah untuk mandi, buat aksi terapung dan gelak ketawa.

Kalau tahu hakikat ini rakan aku Si Medan tu mesti nyampah. Alah Medan, rilek ar!

Lebih kurang jam 9 pagi, aku gerak menaiki kereta kak Mata dan anak-anaknya. Sampai saja ke tempat perkelahan, Medan dan beberapa yang lain sudah basah.

Dah start aktiviti tanpa tunggu aku! Ces!

Kemudian, seorang demi seorang datang sehinggalah jumlah kami lebih kurang 10 orang.

Untuk memeriahkan suasana, kami lakukan sesi bermain air dan beberapa aktiviti keanak-anakan dalam air.

Semasa bermain dan bertepuk tangan dengan meriahnya, aku ditakdirkan untuk kalah awal. 

Terpaksalah aku keluar dari bulatan permainan awal-awal dan mandi seorang.

Aku berganjak ke tengah sedikit untuk menjadi pemerhati luar aktiviti yang masih berjalan. Sedang aku seronok gelak ketawa melihat telatah rakan-rakan yang mencuit hati, tiba-tiba aku terpandang sesuatu di dalam air.

Alamak, selipar siapa yang tertinggal dalam air ini? Soalku dalam hati.

Ini adalah kerana aku ternampak sesuatu yang berwarna oren ‘fluorescent’ dalam air. Aku betul-betul ingat kasut Put tertinggal dalam air, padahal aku nampak Put pakai kasut tu.

Aku cuba keluarkan ‘benda’ itu. Aku pun masukkan tangan dalam air dan pegang ia erat-erat. Takut di bawa air pula.

Tapi aku pelik. Sebaik sahaja aku sentuh benda itu, ianya keras.

Batu rupa-rupanya. Aku keluarkan tangan dari dalam air dan toleh kiri kanan.

Mencari-cari siapa yang akan menjadi mangsa usikan aku.

Aku ingat selipar. Batu rupanya!

Aku nampak Mer dan Wan sedang bergurau senda. Yang lain-lain sibuk bergambar sambil bermain, mereka berdua, suka lain macam.

Saja nak kacau, aku panggil Mer.

“Mer! Mari sini jap!” panggil aku sambil melambai tangan minta dia datang dekat sikit.

“Apa?” balasnya dengan nada teruja. Aku sengih. Bermulalah sesi mengusik. Mer ni lurus sikit. Kalau usik dia mesti syok!

“Cuba kau tengok dalam air tu.” Kataku sambil menuding ke arah batu oren itu.

Tepat jangkaan aku. Dia tengok.

Bila dia sudah menunjukkan reaksi pelik aku sambung, “Siapa yang tertinggal selipar tu?”

“Entah.” Jawabnya pendek. Dia percaya sikit-sikit.

“Cuba kau pegang selipar tu. Tak pun kau tarik dia keluar.” Cadang ku. Disebabkan dia ni lurus sikit, betul-betul dia pegang benda tu.

Dengan nada geram dia balas, “Weh, bukan seliparlah!” kemudian dia tarik batu itu keluar.

“Batu lah! Kau tipu aku. Ces!” aku turut ketawa tapi mata aku tertancap pada batu itu.

Eh?

Warna meroon pula? Bukan tadi oren fluorescent ke?

Tiba-tiba Wan muncul sebelah Mer sewaktu terlihat kami ketawa. Aku waktu itu tak fikir apa-apa lagi. Mungkin biasan air itu membuatkan batu meroon boleh jadi oren.

Boleh ke?

Aku ceritakan semula kejadian lawak Mer terpedaya dengan aku pada Wan yang baru tiba menyertai kami.

“Lain macam je warna batu tu. Buang la jauh-jauh,” kata Wan. Ada reaksi bimbang di wajahnya. Aku dan Mer berhenti ketawa.

Oh, betul juga. Fikirku. Aku bingung sekejap.

Wan minta Mer membaling batu itu jauh-jauh pada bahagian dasar air yang dalam. Bahagian itu kami memang tak pergi sebab dalam dia lebih 6 kaki. Takut tenggelam.

Aku, komfem tenggelam.

Selepas itu, kami pun beredar dari situ menyambung semula permainan sambil bergambar dengan beberapa biji batu yang cantik.

Kami sangat teruja dengan bentuk seketul batu yang seperti diukir bentuk hati. Aku ingat lagi, kami semua mengambil gambar bersama batu tersebut. Macam-macm gaya. Masing-masing menunjukkan keterujaan tentang penemuan batu unik itu.

Termasuk aku.

Entah kenapa, hari itu banyak betul batu bentuk hati ada di kawasan tersebut. Sedangkan sebelum ini kami pernah juga datang main-main kat sini. Tiada pula keadaan yang sebegini unik.

Kemudian, aku bersama anak Kak Mata, main susun-susun batu buat benteng.

Sekali lagi banyak penemuan batu bentuk hati kami jumpa. Dari sekecil-kecil batu sehingga berat yang mencecah 4 kilo.

Dalam hati aku berkata, cantik juga kalau bawa balik buat hiasan. Tapi aku cancel niat tu, sebab memang sah-sah kami tiada aquarium di rumah. Kalau nak kena ligan dengan mak, bawalah sampah banyak-banyak balik rumah. Heh!

Lebih kurang jam 3 petang, kami mengambil keputusan untuk pulang. Sudah habis kecut semua jari-jari baru sedar diri nak pulang.

Sebelum pulang kerana tahu ini adalah kali terakhir kami ke tempat ini, kami pun mengambil gambar beramai-ramai tanda kenangan.

Aku sebagai pemilik kamera Olympus, mengambil alih tugasan mengambil gambar. Sudah standby, aku yang berdiri di dalam air kemudian terpijak sesuatu yang keras dalam air.

Aku tahu aku terpijak batu, walaupun aku memakai kasut getah waktu itu. Aku tak pedulikan keadaan itu dan terus becok menyuruh mereka membuat gaya itu dan ini.

Tidak mahu ketinggalan untuk menjadi sebahagian dari kenangan itu, aku minta Dya untuk mengambil gambar aku dan rakan.

Semasa aku mahu bergerak pergi ke arah kumpulan rakan lain, aku lagi sekali terpijak batu tersebut tapi kali ini aku hampir tergelincir dalam air.

Mujur Dya sempat memegang lenganku. Aku tidak kisah basah, tapi kamera di tangan ini, mahal harganya. Fuh!

Berpeluh nak ganti kalau rosak.

Rakan lain dah tergelak melihat aksi aku yang cemerkap itu.

Aku tetap sporting, turut ketawa. Aku menoleh ke arah batu itu. Dalam hati ada niat nak mencampakkan batu tersebut jauh sedikit dari kami. Takut Dya pula terseradung batu.

Tapi aku tak jadi berbuat demikian kerana batu tersebut merupakan batu berwarna oren ‘fluorescent’ sama macam tadi.

Tak nak lah aku pegang. Kang lain macam pula, bisik hatiku.

Setelah habis bergembira, jari dah kecut, mulut pun dah start membiru, kami pun naik ke darat untuk menukar pakaian.

Lepas ini, aktiviti makan durian pula, jerit kami kesukaan. Setelah memastikan segala sampah sarap kami kutip dan kami bawa balik, ada pula si Medan itu mahu membawa balik batu cantik yang berbentuk hati itu.

Suka sangat pada bentuk uniknya.

Nak buat hantaran kahwin katanya. Kami ketawa. Kak Mata selaku kakak paling tua berkata “Kot ye pun, bagi la hantaran mahal-mahal sikit. Ape ke de halnya batu!” Kami ketawa ramai-ramai mendengar gurauan Kak Mata itu.

Medan garu kepala sambil sengih-sengih macam kerang busuk. Dia kemudiannya meletakkan semula batu tersebut ke tempat asal dan kami pun berangkat pergi makan ‘doghoyan’!

Semasa dalam kereta Kak Mata, aku memerhatikan tempat kami mandi buat kali terakhir. Ni sem akhir. Lepas ini tak datang dah ke sini, kataku dalam hati. Aku pandang air yang jernih itu mengalir tenang.

Tiba-tiba fikiranku teringat semula kepada batu fluorescent yang aku nampak tadi. Eh?

Aku terfikir, bagaimana batu yang sama boleh berada di kaki aku 2 kali? Sedangkan waktu kami mula-mula mandi tadi tiada pula aku terperasankan akan batu yang unik itu. Sedangkan warna batu seperti itu memang ketara lain.

Aku belek semula gambar-gambar yang kami tangkap, mencari-cari objek itu, mana tahu ada dalam gambar kerana kami memang banyak tangkap gambar dalam air.

TAK ADA!

Aku perhatikan pula gambar-gambar yang kami ambil bersama batu bentuk hati tadi. ADA.

Aku ceritakan kepada kak Mata tentang kejadian itu. Kemudian dia tersentak.

“Habis, batu bentuk ‘love’ tu?” dia pandang aku. Aku pandang dia. Bulu roma aku menegak.

“Patutlah banyak batu bentuk love tu ada kat sekeliling kita. Entah-entah memang dia minta kita bawa dia balik kan?” sambung aku. Aku dah terdiam. Begitu juga kak Mata.

“Cuba kamu telefon balik Medan. Takut juga dia terbawa balik batu love tadi. Kang buatnya betul dia bawa balik macam mana?” saranan Kak Mata itu ada benarnya.

Serta merta aku menelefon Medan.

Syukur! Dia tak ambil pun batu itu.

Sampai di tempat makan durian, aku sembang balik dengan Mer dan Wan pasal batu warna fluorescent tu. Mer yang lurus baru terperasan batu yang dia angkat itu, warna meroon sedangkan dia nampak dalam air, sebijik warna macam selipar Put.

“Nasib ko warning aku Wan. Kalau tak..” aku terhenti kat situ. Tak sanggup meneruskan kata-kata yang mungkin boleh menimbulkan kata-kata riak atau besar diri.

“Itulah, masa kau orang gelak-gelak tadi aku rasa warna dia lain macam. Itu yang aku suruh kau orang campak pergi tempat lain,” kata Wan.

Hari itu, kisah mengenai penemuan itu kecoh di FB group kami. Masing-masing dah merasa seram.
Masing-masing menasihatkan agar tidak mengambil apa-apa yang menarik dari dalam hutan kerana ia dipercayai mempunyai pemilik.

Ada juga yang bercerita mengenai pengalaman serupa menimpa keluarga dimana individu yang ada mengambil barang ‘mereka’ dari hutan, perlu berubat dan mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Itu pun selepas barang ‘mereka’ dipulangkan ke tempat asal dia diambil. Memang bersyukur sangat-sangat!

Aku ceritakan kejadian serupa kepada Fin, ‘housemate’ aku yang tak ikut aktiviti kami. Masa bercerita pada dia petang itu, aku rasa badan aku lain macam. Nak demam.

Fin turut menyatakan pendirian dan ceritanya mengenai barang-barang ‘mereka’ dari hutan. Memang mereka mahu kita ambil. Tapi dengan tujuan untuk mengganggu kita dan agar kita patuh dengan perintah mereka jika mahu sembuh.

Malam itu aku tak boleh tidur walaupun badan dilanda demam kura-kura. Paling teruk adalah apabila esoknya, tengah hari buta lebih kurang jam 12, Fin ternampak ada bayang hitam masuk dapur. Ingatkan aku, rupanya tiada siapa di dapur.

Aduh! Yang itu siapa pula!

Sudahlah bilik aku menghadap pintu dapur! Alamat bertambah demamlah aku!

Nota tambahan : Aku rasa bayang hitam itu muncul kerana gara-gara aku memasang lagu “raise of the spirit’ by Kitaro di bilik tengahari itu. Terus aku delete lagu itu dari playlist! Seram seh!